Cari, cari, carilah...

Wednesday, November 9, 2011

Counter Attack....

Umat Islam semakin hari semakain ditindih...

Tindihan-tindihan kafir, bukan setakat mencabar keimanan umat ini dari segi fizikal...

Kita lihat dan kita telitikan keadaan abang-abang & adik-adik kita di Palestin..sungguh perit mereka diuji...sungguh kasihan mengenangkan nasib mereka...

Namun mereka tidak mengharapkan kita berjuang bersama mereka di sana..

Kerana mungkin mereka tahu kita juga sedang ditekan dan dicabar...

Dalam bentuk yang berbeza..

Dalam bentuk penguasaan media, hiburan hinggalah penguasaan ekonomi...

Umat Islam seakan tiada jalan keluar...

Haba kekafiran & kemaksiatan terasa di mana-mana...

Inilah akhir zaman...

Dalam kekusutan ini, mungkin ramai orang Islam yang meyakini...

Meyakini bahawa Islam kan kembali gemilang...

Bahawa Islam kan kembali mendaki...

Mereka meyakini, kerana mereka tiada jalan...

Nauzubillah, jika ia hanya sekadar retorik...

Kita mahukan satu keyakinan hati...

Keyakinan amalan...

Berapa ramai yang menyebut, "Tunggulah, Islam akan mengatasi kalian juga"...

Sedang kita mahukan, "Tunggulah, akan aku bina rijal-rijal da'wah...rijal-rijal tarbiyyah...maka Islam akan mengatasi kalian juga"...

Point di sini adalah (akan aku bina)...

Kerana kitalah yang membina...

Tidak hanya meyakini, dan mengharapkan orang lain untuk melakukannya...

Memang Islam akan kembali...

Namun adakah kita menjadi peserta, atau pemerhati??

Sekian.

Sunday, July 31, 2011

15 minit sebelum Ramadhan: Satu Renungan





Bismillahirrahmanirrahim


Jika kita pergi melawat negara-negara seperti Turki, Sepanyol, dan seumpamanya, kita pasti terpegun dengan keindahan warisan seni Islam yang telah ditinggalkan suatu masa dahulu. Kebanyakan pasti berkata, "Sungguh, Islam pernah bertapak di sini suatu masa dahulu. Islam pernah menguasai tanah ini" dengan rasa penuh bangga dengan Islam.


Baiklah.


Jika kita fikirkan pula, seorang mat saleh yang melawat negara-negara seperti Jordan, Mesir, Malaysia dan negara-negara Islam yang lain, pernahkan kita terfikir apa yang bermain-main di fikiran mereka? Ini satu persoalan. Ada kemungkinan, mereka akan fikir, "Begini rupanya negara Islam. Pemakaian cara kami, pertuturan cara kami, orang azan buat tak tahu, jual beli pun menipu...Sungguh, agamaku SEDANG bertapak di sini. agamaku SEDANG menguasai tanah ini" dengan rasa penuh bangga dengan agama mereka.


Dapatkah kita bezakan antara dua keadaan di atas?


Inilah yang berlaku sekiranya umat Islam masih lagi berada dalam 'zon selesa'. Sejarah kegemilangan Islam dahulu disebut-sebut dan disebut-sebut, hanya untuk mencari kemegahan yang kosong. Buat apa bermegah, sedangkan yang gemilang itu bukan kita yang terlibat dalam pembinaannya? Sejarah adalah untuk diambil iktibar, bukan untuk bermegah-megah. Cuba kita bayangkan, kalau ada di antara orang kafir mengatakan kepada kita, "Alah, tu dulu...sampai bila kau nak sebut-sebutkan? Yang penting aku berkuasa atas kalian sekarang ni". Kita masih lagi dalam ayunan mimpi, langsung tidak berpijak pada realiti.


Apa kaitan dengan Ramadhan?


Ramadhan yang mendatang, menjadi tetamu yang kita nanti-nantikan setiap tahun. Setiap kali ia mendekati, kita berazam dan mengharapkan ianya menjadi Ramadhan yang terbaik. Ia juga sebagai madrasah tarbiyah kepada kita, untuk mengubah diri dan meningkatkan amal.


Namun perubahan diri perlu ada daya penolak. Mana mungkin seseorang itu berupaya mengubah diri tanpa satu sebab yang jelas, mengapa perlu untuk dia mengubah diri. Jika tiada sebab yang jelas, maka Ramadhan akan terus berlalu, kita mungkin akan tewas juga akhirnya. Cuba kita bayangkan, sewaktu nabi saw ber'uzlah di gua Hira'. Sesiapa yang pernah mendaki Jabal Nur dan memasuki Gua Hira' pasti mengetahui betapa penatnya pendakian ke atas sana. Kesungguhan Rasulullah saw untuk beribadah, pasti dibayangi oleh satu perasaan yang kuat, satu perasaan ingin mengubah sesuatu, SATU PERASAAN YANG TIDAK SENANG DENGAN MASYARAKAT JAHILIYYAH KETIKA ITU.


Kesimpulannya,


Kita mengambil 'ibrah daripada renungan di atas, bahawa untuk kita rasa lebih bersemangat dalam mengubah diri sempena Ramadhan kali ini, kita seharusnya ada perasaan yang kuat untuk mengubah masyarakat kita. Ayuh kita keluar daripada 'zon selesa' ini...masyarakat Islam sedang parah, ia memerlukan perubahan daripada kita.


Wallahu a'lam..


SELAMAT MENYAMBUT RAMADHAN & SELAMAT BERPUASA

Saturday, July 9, 2011

Kawan-kawan dah mula berubah, aku bila lagi?



بسم الله الرحمن الرحيم

الحمد لله, ثم الحمد لله, ثم الحمد لله

Maha Suci Allah, setiap jiwa yang dipinjamkannya di bumiNya ini berada di bawah kekuasaanNya. Tidak berubah seseorang itu kecuali dengan izinNya, begitulah juga tidak masuk syurga seseorang itu kecuali dengan rahmatNya. Syurga itu mahal harganya, namun rahmatNya mengatasi segala. Bahkan ibadah seorang hamba selama seribu tahun belum cukup untuk menjamin syurga. Apakan pula diri ini yang hina?

"Jikalau tidaklah karena nikmat Tuhanku pastilah aku termasuk orang-orang yang diseret (ke neraka)" (Ash-Shaffaat: 57)

Sigh...

Tika mengenangkan nasib akhirat, keluhan selalu dihembuskan. Apakah diri ini berjaya mengharung setiap ujian dunia, hingga dapat mencapai redha Allah swt? Amal pun tak seberapa mana,  bagaimana mahu thabat dalam perjuangan dakwah dan mendamba kasih Allah swt? Sungguh, dunia ini benar-benar ujian.


Islam Itu Motivasi

Alhamdulillah, walaupun ujian dunia ini begitu hebat buat mereka yang menyedari, namun kita dibekalkan oleh Allah swt satu jalan. Jalan ini dipandu selari dengan Al-Quran dan sunnah nabi saw, dimana mengikut jalan ini merupakah motivasi kepada kita untuk meneruskan kehidupan di bumi Allah swt. 

Sehebat dan sebesar manapun ujian dunia yang menimpa, Al-Quran tidak pernah mengecewakan orang-orang yang beriman dalam memberikan satu motivasi yang memandu mereka kearah menguatkan iman mereka. Mereka seolah-olah melalui satu jalan berliku, berduri dan penuh halangan, tetapi tahu hala tuju mereka pada suatu peta yang jelas di penghujungnya, kenikmatan yang berkekalan.

Maka diri ini juga perlu ikut serta dalam perjuangan, bermula dengan mengubah diri sendiri.


Suasana Yang Mengubah

Maha Suci Allah yang segala sesuatu tidak berlaku hanya dengan izin dan ketetapanNya, suasana di Irbid tampak semakin hari semakin baik. Hidup di sini bersama dengan sahabat-sahabat, tentunya memberikan satu impak dan pengaruh kepada diri ini. Alhamdulillah, pengaruh yang bakal memberi impak kepada diri ini merupakan jalan yang InsyaAllah dapat merubah diri ini.

Alhamdulillah sekali lagi, dapat melihat ramai sahabat menyertai Akademi Al-Fateh yang dianjurkan oleh PERMAI. Ana dapat lihat perubahan yang ingin mereka cari, dan amal yang mereka lakukan demi mengubah diri mereka. Terkadang rasa segan, dek kerana ego yang tinggi, akhirnya sedar bahawa diri ini begitu hina, begitu ketinggalan dalam beramal. Tidak salah berlumba-lumba dalam beramal. 

Semoga perubahan yang mereka cari dapat juga menjadi penggerak kepada diri ini untuk turut serta dalam perubahan dan seterusnya menebalkan keimanan agar terus gagah dalam arus dakwah. Benar, amal tidak menjamin syurga tetapi dengan amalanlah kita mendamba redha Allah swt, sehinggalah kita mencapai darjat yang tinggi disisi Allah swt, iaitu Taqwa.

Kawan-kawan dah mula berubah, aku bila lagi?.....

(إِنَّ اللَّهَ لَا يُغَيِّرُ مَا بِقَوْمٍ حَتَّى يُغَيِّرُوا مَا بِأَنْفُسِهِمْ) [الرعد: 11]

Thursday, June 30, 2011

Masa itu emas? Betul ke?



Bismillahirrahmanirrahim

Cuti semester 2 hampir tamat. Sehari dua lagi insyaAllah Fasal Saifi akan bermula. Alhamdulillah cuti kali ini terisi, walaupun belum mencapai tahap sebagaimana para ulama' terdahulu; hinggakan tiada masa untuk berehat, sibuk dengan kerja-kerja dakwah mereka. InsyaAllah kita mensasarkan tahap seperti itu, walaupun agak jauh tapi tidak mustahil.

Bercakap tentang masa, mungkin para mahasiswa di Universiti-universiti boleh memahami dan membayangkan banyaknya masa yang mereka miliki, terutama sekali apabila habisnya final exam. Yang sudah punya perancangan rapi sepanjang cuti, alhamdulillah, kerana mereka yang tidak merancang cuti akan berakhir dengan hanya menghabiskan masa dengan begitu sahaja. Alangkah ruginya, nauzubillah.

Dan mereka yang paling beruntung adalah yang merancang waktu cutinya dengan aktiviti-aktiviti bermanfaat, bukan sahaja kepada diri sendiri, malah juga kepada ummat Islam.

Kita biasa mendengar pepatah, "Masa itu emas". Ataupun dalam pepatah arab (setelah diterjemahkan) ada menyebut, "Masa itu ibarat pedang, jika kamu tidak memotongnya, ia memotong kamu".

Sahabat-sahabat sekalian, saya rasa sudah masanya untuk kita hayati kembali pepatah-pepatah lama, yang telah disusun oleh orang-orang dahulu. Bukan kerana taqlid, tetapi kerana kata-kata hikmah ini ada mesej yang ingin disampaikan. Malah, jika ditanyakan pendapat saya, saya akan katakan pepatah ini salah, kerana masa bukan emas, bahkan lebih berharga daripada itu.

Salah seorang ulama' (lupa namanya) pernah memberitahu, "Kalaulah masa itu boleh dijual beli, nescaya aku akan membelinya". Kemudian dia ditanyakan kepadanya, "Dari manakah kamu akan membeli masa jika demikian?". Kemudian dia menjawab, "Daripada orang-orang yang membuang masa".

Subhanallah, begitu berharganya masa. Emas boleh dijual beli, tapi masa tidak. Tidak sekali-kali. Bayangkan sahabat-sahabat, pukul 10.30 am, 29/6/2011, berlaku satu minit sahaja, masa itu hilang selamanya. mungkin ada lagi 10.30 am, tapi bukan lagi 29/6/2011. Sebab itu kebanyakan orang, mereka seakan tidak sedar yang masa itu berlaku. Kata mereka, "Eh, cepatnya masa berlalu! Tinggal sehari lagi nak mula kelas". Sedangkan masa tidak berlalu dengan cepat. Ia berlalu dengan konsisten, tetapi mereka yang mensiakannya akan melupakannya.

Saya tertarik dengan satu notis, kalau tak silap saya terbaca dalam status dalam friendster (zaman2 friendster dulu). Ada seorang kawan tulis, "Whenever you've finished reading this, you'll find out that you have wasted 1 minute of your life". Terjemahan, "Apabila kamu sudah habis membaca ini, kamu akan dapati kamu sudah membazirkan 1 minit dalam hidup kamu". Agak lucu, tetapi kadang-kadang agak sinis. Bila ditekankan pasal '1 minute of your life', rasa macam rugi la pulak. Tak hairanlah dalam Al-Quran sendiri Allah swt bersumpah dengan masa. (Surah Al-Asr)

Satu fenomena lagi adalah ketika waktu hari lahir. Tiba sahaja hari lahir seseorang, ramailah yang akan ucap "Selamat Hari Lahir, moga panjang umur". Alhamdulillah, moga-moga doa itu maqbul. Namun yang ingin saya tekankan adalah mereka yang mengira umur itu bertambah. Sungguh, tibanya hari lahir kita umur tidak bertambah, bahkan berkurang, kerana kita semakin dekat dengan ajal kita. Hasbunallah Wani'mal Wakil.

InsyaAllah, moga-moga selepas ini kita mampu memanfaatkan masa sepenuhnya. Jika Rasulullah mengambil masa 13 tahun untuk mendidik sahabat-sahabat baginda pada zaman Makkah dan keseluruhannya 23 tahun untuk membina daulah Islamiyyah di Madinah, maka berapa lamakah yang kita ambil untuk mendidik masyarakat kita? Mungkin banyak lagi masa yang kita bazirkan, bukan kerana Islam. Sama-sama kita renungkan.

Semoga masa yang Allah swt berikan kepada kita diberkati, dan kita juga mampu menjawab ketika ditanya tentangnya di akhirat kelak.

Wallahu a'lam

Sunday, April 3, 2011

Perancangan Kafir: Tiada makna...



"Teruk betul kafir laknatullah...Macam2 diorang rancang untuk sesatlam umat Islam!", kata A dengan bersungguh.

"Betul2...perancangan diorang begitu rapi sehingga kita tak sedar pun yang kita sekarang di bawah pengaruh Yahudi...Ko tengok tak The Arrivals?", balas B sambil menekan-nekan butang joypadnya dengan matanya tertumpu ke arah kaca skrin komputer.

"Tengok2...aku baru je habis semua siri..best kot! Rupanya kita sekarang ada dalam New World Order", sambut A pula.

A dan B meneruskan perbualan mereka sambil bermain game PES sesama mereka, rancak perbualan mereka, sesekali diselangi dengan bunyi sorakan yang keluar melalui speaker.

Jam menunjukkan pukul 1 pagi.

**********************************************************************************

Assalamualaikum wbt.

Cuba fikirkan, agak2nya mungkinkah dua orang sahabat dari cerita pendek di atas akan bangun solat subuh keesokan harinya?

Mungkin ya, tetapi dari segi adat atau kebiasaan sudah dijangka bahawa sangatlah susah untuk mereka bangun solat subuh di masjid sekiranya mereka tidur terlalu lewat, lebih2 lagi jika mereka memaksa mata mereka berjaga malam sebelumnya. Walaupun perbualan mereka tampak agak 'bermanfaat' namun ia tidak membawa erti apa-apa.

Kenapa tidak membawa erti apa-apa? Bukankah mereka berbincang mengenai agenda-agenda kafir untuk melemahkan Islam? Penting tuu...

Sahabat-sahabat sekalian, perlukah kita sebut-sebutkan apa yang telah orang-orang kafir rencanakan untuk umat Islam, sedangkan berkali-kali Allah swt firmankan di dalam kitabNya bahawa mereka MEMANG sentiasa memusuhi kita dan sentiasa merancang tipu daya terhadap kita?

2:120
4:108
3:54

Dan banyak lagi ayat-ayat lain yang mengisahkan tentang tipu-tipu daya kafir terhadap orang Islam.

Ana teringat, seorang hamba Allah ni pernah post di dalam FB pasal satu dakyah kristian. Beliau menyatakan kalau website ni (website yg masyhur) kita tukar url sikit, maka akan keluar page ni...(page yang menyatakan Bible itu benar, Kristian indah, dll)..

Maka setiap yang melihat benda tu seakan-akan terkesima, terkejut, malah ada yang komen kata semua orang patut tengok benda ni. Memang, benda ni bukanlah benda yang biasa. Jika antum semua tengok benda ni, maka antum akan kata, "Ish, mereka mesti ada perancangan sendiri sbb buat mcm ni".

Apakah benda tu penting sebenarnya?

Daripada sudut pandangan ana secara peribadi, ana lihat ia sebagai satu kejayaan bagi orang-orang Kristian. Kelebihan memihak kepada mereka. Mengapa? Tidak lain tidak bukan adalah kerana dakyah yang mereka bawa disebarkan oleh orang Islam sendiri! Ana juga berpendapat, sekiranya benda ni terus disebarkan, mereka yang lemah imannya akan terjerat dengan dakyah2 sebegini. Ya, ia satu kemungkinan. Di Malaysia, berapa ramai orang Melayu yang murtad? http://myfaisalonline.blogspot.com/2009/06/statistik-permohonan-murtad-bagi-tahun.html

Betul, mungkin mereka mempunyai satu agenda tersembunyi atau senang dikatakan, memang mereka mempunyai agenda tersebut. Namun, apa yang menguntungkan kita sebagai umat Islam sekiranya kita tahu bahawa mereka membawa agenda2 ini? Semua itu hanyalah menjadi perbualan semata-mata...

The Arrivals
Ana yakin ramai yang mengenali video2 bersiri ni. Malah ada yang letak kat FB sebagai Movies kat profile masing2. Ana sendiri pun dah tengok kesemua siri video The Arrivals ni. Dan alhamdulillah sedikit sebanyak memberikan impak kepada diri ana.

Dalam video ini, ia membongkar rahsia-rahsia gerakan Freemason, gerakan-gerakan kafir laknatullah untuk melemahkan Islam supaya apabila keluarnya Dajjal, maka ramai akan menjadi pengikutnya.

Yang paling penting, apa yang ana setuju dan suka tentang video ini adalah di bahagian2 akhirnya, di mana Producer dokumentari ni mengajak umat Islam untuk merubah diri mereka dan memainkan peranan masing-masing dalam menaikkan kembali umat ini. Setiap amalan kita memberikan kesan terhadap dunia. Itulah mesej yang paling penting yang ingin disampaikan oleh Producer. Buktinya? Kerana ia berada di siri-siri akhir dokumentari. Ia disusun sebegitu kerana mesej-mesej akhirlah yang biasanya akan melekat di dalam pemikiran penonton.

Namun amat mendukacitakan apabila natijahnya tetap serupa, ia sekadar menjadi perbualan sesama sahabat handai...

Mesej di akhir nampaknya kurang diminati...kerana ia melibatkan PERUBAHAN.

Ana tertarik dengan post daripada sahabat ana, Mawardi Hafizi di FB beliau.."Biarkan mereka dengan agenda mereka, kita ada agenda kita sendiri"...

Wallahu a'lam...

Wednesday, March 23, 2011

Pemain Badminton Yang Gagal

بسم الله الرحمن الرحيم

Mohd seorang pemain badminton terkenal di sekolahnya. Sejak daripada tingkatan satu lagi, beliau sudah terkenal dengan 'skill'nya dalam sukan badminton. Sebut sahaja badminton, nama Mohd akan keluar. Tidak hairanlah jika Mohd selalu mewakili sekolahnya dalam sukan badminton setiap tahun, hingga mengharumkan nama sekolahnya.

Ketika Mohd naik ke tahun terakhir pengajiannya di sekolah, iaitu di tingkatan 5, beliau akhirnya berjaya mewakili negerinya ke pertandingan MSSM. Buat pertama kalinya beliau berjaya memasuki pertandingan berprestij tersebut. Beliau sangat gembira dan semangatnya terus membakar.

Untuk pertandingan tersebut, beliau telah niatkan untuk mendapatkan bahan-bahan yang terbaik...raket baru yang mahal, kasut baru, baju sukan mahal, dan sebagainya. Mohd begitu bersungguh mencari yang terbaik untuk pertandingan itu. Beliau melayari internet untuk membuat 'survey' tentang peralatan-peralatan badminton yang terbaru, lengkap dengan teknologi-teknologi mantap lagi sofistikated. Beliau perlu memastikan pertandingan pada tahun akhirnya itu menjadi pertandingan badminton yang sangat memberi makna kepadanya. Apa lagi kalau bukan menang? Kerana itulah beliau memilih perkakasan yang terbaik lagi berjenama.

Cari punya cari, beli punya beli...tarikh pertandingan tinggal lagi dua hari. Mohd menghabiskan senarai peralatan untuk dibeli terakhirnya, iaitu sebatang raket Yonex Voltric 70.

Pertandingan sehari lagi, Mohd mengemaskan barang-barangnya untuk ke luar negeri bagi pertandingan MSSM. Beliau perlu tiba awal di tempat perlawanan bagi membiasakan gelanggang.

Senang cerita, beliau kalah dalam perlawanan yang pertama lagi.

The End.

Cerita ini tiada kaitan antara yang masih hidup mahupun yang telah meninggal dunia.

*********************************************************************************

Mungkin para pembaca boleh mengagak apa kesilapan yang telah dilakukan oleh Mohd dalam cerita ringkas di atas.

Mohd telah lupa apa tujuannya masuk MSSM.

Sebenarnya pertandingan badminton MSSM tidak lain tidak bukan bertujuan untuk mencari pemain-pemain handal yang dapat dipilih jika pemain tersebut MENANG dalam pertandingan. Juga pertandingan tersebut sama sekali bukan pertandingan memperagakan peralatan-peralatan sukan yang mahal dan teknologi-teknologi yang canggih.

Jelas Mohd terlupa tujuannya masuk MSSM dan beliau menerima akibat perbuatannya.

Jika dilihat, setiap perkara (yang memberi kesan) yang dilakukan mesti mempunyai tujuan yang jelas. Bermain bola contohnya, jika tiada satu ruangan berjaring yang dinamakan gol, maka jadilah kita seperti budak-budak kecil bermain bola pada waktu petang. Tiada arah tujuan, hanya sekadar bersuka ria semata-mata.

Kita lihat pula contoh program-program yang dijalankan di mana-mana, pasti ada objektifnya yang tersendiri. Jika tiada objektif, maka program tersebut seakan-akan disiakan.

Berbalik kepada badminton tadi, tidak ana nafikan bahawa alatan-alatan canggih dan berteknologi memang membantu. Namun, kita perlu faham bahawa alatan dan tujuan mempunyai takrif tersendiri. Sekiranya alatan itu bertukar menjadi tujuan, maka jadilah kita seperti Mohd tadi. Sekiranya Mohd tidak terlalu memikirkan alatan yang akan beliau gunakan dan berlatih untuk menghadapi pertandingan, maka beliau mempunyai peluang yang lebih tinggi untuk sekurang-kurangnya mara ke pusingan kedua pertandingan.

Di sini saya berikan analogi telur ayam (credits to Akh Ahmad Fathi). Dalam telur ayam, manakah yang lebih penting? Kuningnya atau putihnya?

Sudah tentu kuningnya, kerana kuningnyalah yang akan terbentuk menjadi anak ayam nanti. Fungsi bahagian putih adalah membekalkan nutrien-nutrien yang diperlukan untuk pembesaran sel-sel supaya terbentuknya seekor anak ayam.

Hidup ini ada tujuan kah?


Semestinya. Allah tidak menjadikan kita manusia dengan sia-sia. Setiap yang Allah swt ciptakan mempunyai fungsinya dan tujuannya yang tersendiri. Lebih-lebih lagi kita, manusia sebagai sebaik-baik makhluk di muka bumi. Tidak perlu ana bagi dalil, semua yang membaca pasti sudah dapat meneka apa ayatnya. Kalau masih tak dapat teka, carilah lagi sampai jumpa DUA ayat yang menceritakan tujuan penciptaan manusia.

1 - Ibadah
2 - ????

Maka, adakah hidup kita sebagai pelajar, pekerja, seorang ayah, seorang ibu, seorang anak, seorang ahli keluarga hanya menjalankan kerja yang sama sepanjang hidup? Seorang pelajar keluar pagi belajar, balik petang, malam study, akhir semester ada exam, kalau lepas boleh advance. Kalau dah habis belajar grad, boleh kerja, kahwin, urus rumah tangga.

Semua pekerjaan-pekerjaan ini sama dalam setiap masyarakat. Tidak salah juga jika ana katakan dalam setiap orang, semua pekerjaan ini akan melalui sesuatu yang sama juga...MATI..

Maka ketika itulah akan terdetik juga dihati, adakah tujuan hidup dipenuhi?? Atau alatan sudah menjadi tujuan??

Masalah kan?? Benarlah setiap masalah itu ada penyelesaian, kerana sebenarnya sudah ada satu sistem lengkap yang dapat memenuhi tuntutan tujuan hidup manusia...

Nak tahu? Tanyalah orang yang TAHU...

Wallahu a'lam..

Sunday, March 13, 2011

Aku Ingin Bercinta, Pleaseeee....


Kehidupan sebagai seorang pelajar perubatan memang mencabar. Setiap hari mesti diisi dengan sebaiknya, khususnya mengulangkaji pelajaran yang telah diajar di dalam kuliah. Anatomy, anatomylah...Physiology, physiologylah...Jika terlepas untuk mengulangkaji, maka kita terima akibatnya. Kerana itulah kadang-kadang terasa diri ni bagaikan tak mampu untuk meneruskan langkah. Kadang-kadang kecundang, kadang-kadang tergelincir. Bila tengok keputusan peperiksaan sahabat-sahabat yang lain, rasa cemburu. Mula-mula semangat nak belajar betul-betul tapi lama-lama luntur. Aduh, ia memang mencabar.

Kadang-kadang terfikir, mungkinkah ada satu cara yang boleh ana lakukan supaya semangat sentiasa berkobar-kobar. Setiap waktu mesti fikir pelajaran. Ana perlukan satu penguat di mana apabila terfikirkan penguat itu, maka ana bersemangat untuk belajar. INSPIRASI! Ya, itulah perkataannya! Ana memerlukan satu inspirasi yang dapat menguatkan keyakinan ana hingga ke akhir pengajian, dan jika boleh, berkekalan InsyaAllah. 

Fikir punya fikir...

Terlintas di fikiran ana, bukankah CINTA itu suatu inspirasi?

Teringat zaman budak-budak dulu, kalau berkenan dekat sorang perempuan ni, kalau buat apa-apa mesti teringat kat dia.

Nak belajar pun jadi bersemangat sebab mesti dia suka kalau kita cemerlang, lebih-lebih lagi kalau keduanya cemerlang. Inilah cinta yang sejati, terkawal daripada hasutan hawa nafsu, cinta yang membawa kepada kebaikan. Bukankah Islam itu menganjurkan kebaikan kepada umatnya?

Lebih-lebih lagi jika percintaan itu bukan sahaja disandarkan pada pelajaran, tetapi juga pada agama. Terlintas di fikiran mahu melakukan maksiat, kita dapat hindarkannya kerana keduanya saling nasihat-menasihati. Memanglah meninggalkan itu kerana Allah tapi dia itu menjadi asbab, apa salahnya?

Mungkin ana baru menyedari bagaimana fitrah manusia ini, sungguh indah sebenarnya. Ya, sangat indah. Mungkin inilah inspirasi yang ana patut cari. Tak kiralah apa orang kata, asal hidup ana bermakna...

HARITH! HARITH! Astaghfirullahal 'Azim!!

Mungkin ana sudah terlupa yang CINTA ALLAH melebihi segalanya.

Mungkin ana terlupa yang CINTA RASUL membawa kepada syafaat baginda.

Mungkin ana terlupa...


Suatu ketika Umar bin khatab r.a berkata, “ Wahai Rasulullah, saya mencintaimu lebih dari segalanya kecuali nyawa saya. 
“Nabi saw bersabda” seseorang tidak akan menjadi seorang mukmin yang sempurna sebelum dia lebih mencintai aku dari pada dirinya sendiri.”
Lalu Umar r.a. berkata lagi,” sekarang saya mencintai engkau lebih dari diri saya sendiri”
Nabi saw bersabda, “Sekarang ia Umar,” Para Ulama menjelaskan bahwa jawaban Rasulullah saw, tersebut mengndung 2 maksud.:

1. “Sekarang sudah sempurna keimananmu
2. “ Ini adalah peringatan, mengapa baru sekarang engkau mencintaiku dari pada dirimu sendiri, wahai umar. Padahal sebenarnya perasaan ini harus sudah di miliki sejak dulu.


Kadang-kadang kita terlupa bahawa, bukanlah cinta yang memberi inspirasi itu kecuali perangkap daripada SYAITAN. Kalau diikutkan, bukankah betul hujah-hujah tentang inspirasi cinta yang ana berikan tadi? 

Cuba fikirkan kembali, bagaimanakah kiranya jika kita tukarkan cinta tadi kepada cinta Allah dan Rasul...

Cinta Allah dan Rasul menjadi inspirasi bagi kita, bukankah ianya lebih kuat, lebih suci dan lebih berkekalan berbanding selainnya?

Itulah kita manusia. Kita sering terpedaya dengan pemikiran-pemikiran yang pada zahirnya masuk akal. Namun tanpa kita sedari fikiran kita sebenarnya sedang dimanipulasikan oleh bisikan-bisikan syaitan...

أعوذ بكلمات الله التّامات من شرّ ما خلق

Berbalik kepada inspirasi yang dipupuk daripada cinta Allah dan Rasul tadi, adakah ianya realistik? Atau hanya retorik? Kadang-kadang kita hanya sebut-sebutkan perkara ini tapi realitinya, kita tidak merasakan cinta itu. Nak buat macam mana? Dah tak rasa...Cinta tidak boleh dipaksa!

Sahabat-sahabat sekalian, cuba kita fikirkan sejenak. Jika Allah tidak sayangkan kita adakah Dia akan beri kepada kita nikmat-nikmat yang kita punyai hari ini? Adakah Dia akan biarkan kita menikmati nikmat Iman dan Islam yang kita perolehi sejak daripada kecil ini? Jika Dia mahu, mudah sahaja Dia membuatkan anda semua bosan dengan Islam dan murtad (Na'uzubillah min zaalik).

Bagaimana dengan Nabi Muhammad SAW? Jika baginda tidak menyayangi kita, adakah baginda akan mengucapkan ummati...ummati...ummati... sebelum kewafatan baginda? Adakah juga baginda sanggup bersusah payah demi menyampaikan Islam kepada kita sehingga hari ini? Ingatlah bahawa baginda Rasulullah SAW tidak pernah melihat kita, tidak pernah mengetahui tentang diri kita, tidak pernah mendengar suara kita. Namun baginda begitu menyayangi kita..

Tiadakah terasa dalam diri anda semua untuk MEMUPUK cinta itu? Memupuk cinta Allah dan RasulNya dengan membasahkan lidah dengan zikrullah dan selawat keatas baginda SAW, itulah rahsianya, di samping mencari ilmu untuk mengenali Allah dan mengenali Rasulullah SAW.

Jika cinta ini dapat kita kecapi, insyaAllah segala urusan kita semuanya ikhlas kerana cinta kita kepada Allah swt serta RasulNya. Kita mahukan persembahkan prestasi yang terbaik dalam pelajaran, prestasi yang terbaik dalam akhlak, prestasi yang terbaik dalam apa jua yang kita lakukan, tidak lain tidak bukan hanyalah kerana CINTA kita.

Ana mesti dapatkan Cinta itu!

Wallahu a'lam.

P/S  Penulis bukanlah seorang yang mantap cintanya kepada Allah dan Rasul tapi insyaAllah, sedang
       berusaha ke arah itu. Moga kita semua dapat menikmati kelazatan cinta Allah & Rasulullah SAW
       InsyaAllah.