Cari, cari, carilah...

Sunday, July 31, 2011

15 minit sebelum Ramadhan: Satu Renungan





Bismillahirrahmanirrahim


Jika kita pergi melawat negara-negara seperti Turki, Sepanyol, dan seumpamanya, kita pasti terpegun dengan keindahan warisan seni Islam yang telah ditinggalkan suatu masa dahulu. Kebanyakan pasti berkata, "Sungguh, Islam pernah bertapak di sini suatu masa dahulu. Islam pernah menguasai tanah ini" dengan rasa penuh bangga dengan Islam.


Baiklah.


Jika kita fikirkan pula, seorang mat saleh yang melawat negara-negara seperti Jordan, Mesir, Malaysia dan negara-negara Islam yang lain, pernahkan kita terfikir apa yang bermain-main di fikiran mereka? Ini satu persoalan. Ada kemungkinan, mereka akan fikir, "Begini rupanya negara Islam. Pemakaian cara kami, pertuturan cara kami, orang azan buat tak tahu, jual beli pun menipu...Sungguh, agamaku SEDANG bertapak di sini. agamaku SEDANG menguasai tanah ini" dengan rasa penuh bangga dengan agama mereka.


Dapatkah kita bezakan antara dua keadaan di atas?


Inilah yang berlaku sekiranya umat Islam masih lagi berada dalam 'zon selesa'. Sejarah kegemilangan Islam dahulu disebut-sebut dan disebut-sebut, hanya untuk mencari kemegahan yang kosong. Buat apa bermegah, sedangkan yang gemilang itu bukan kita yang terlibat dalam pembinaannya? Sejarah adalah untuk diambil iktibar, bukan untuk bermegah-megah. Cuba kita bayangkan, kalau ada di antara orang kafir mengatakan kepada kita, "Alah, tu dulu...sampai bila kau nak sebut-sebutkan? Yang penting aku berkuasa atas kalian sekarang ni". Kita masih lagi dalam ayunan mimpi, langsung tidak berpijak pada realiti.


Apa kaitan dengan Ramadhan?


Ramadhan yang mendatang, menjadi tetamu yang kita nanti-nantikan setiap tahun. Setiap kali ia mendekati, kita berazam dan mengharapkan ianya menjadi Ramadhan yang terbaik. Ia juga sebagai madrasah tarbiyah kepada kita, untuk mengubah diri dan meningkatkan amal.


Namun perubahan diri perlu ada daya penolak. Mana mungkin seseorang itu berupaya mengubah diri tanpa satu sebab yang jelas, mengapa perlu untuk dia mengubah diri. Jika tiada sebab yang jelas, maka Ramadhan akan terus berlalu, kita mungkin akan tewas juga akhirnya. Cuba kita bayangkan, sewaktu nabi saw ber'uzlah di gua Hira'. Sesiapa yang pernah mendaki Jabal Nur dan memasuki Gua Hira' pasti mengetahui betapa penatnya pendakian ke atas sana. Kesungguhan Rasulullah saw untuk beribadah, pasti dibayangi oleh satu perasaan yang kuat, satu perasaan ingin mengubah sesuatu, SATU PERASAAN YANG TIDAK SENANG DENGAN MASYARAKAT JAHILIYYAH KETIKA ITU.


Kesimpulannya,


Kita mengambil 'ibrah daripada renungan di atas, bahawa untuk kita rasa lebih bersemangat dalam mengubah diri sempena Ramadhan kali ini, kita seharusnya ada perasaan yang kuat untuk mengubah masyarakat kita. Ayuh kita keluar daripada 'zon selesa' ini...masyarakat Islam sedang parah, ia memerlukan perubahan daripada kita.


Wallahu a'lam..


SELAMAT MENYAMBUT RAMADHAN & SELAMAT BERPUASA

No comments: