Cari, cari, carilah...

Thursday, June 30, 2011

Masa itu emas? Betul ke?



Bismillahirrahmanirrahim

Cuti semester 2 hampir tamat. Sehari dua lagi insyaAllah Fasal Saifi akan bermula. Alhamdulillah cuti kali ini terisi, walaupun belum mencapai tahap sebagaimana para ulama' terdahulu; hinggakan tiada masa untuk berehat, sibuk dengan kerja-kerja dakwah mereka. InsyaAllah kita mensasarkan tahap seperti itu, walaupun agak jauh tapi tidak mustahil.

Bercakap tentang masa, mungkin para mahasiswa di Universiti-universiti boleh memahami dan membayangkan banyaknya masa yang mereka miliki, terutama sekali apabila habisnya final exam. Yang sudah punya perancangan rapi sepanjang cuti, alhamdulillah, kerana mereka yang tidak merancang cuti akan berakhir dengan hanya menghabiskan masa dengan begitu sahaja. Alangkah ruginya, nauzubillah.

Dan mereka yang paling beruntung adalah yang merancang waktu cutinya dengan aktiviti-aktiviti bermanfaat, bukan sahaja kepada diri sendiri, malah juga kepada ummat Islam.

Kita biasa mendengar pepatah, "Masa itu emas". Ataupun dalam pepatah arab (setelah diterjemahkan) ada menyebut, "Masa itu ibarat pedang, jika kamu tidak memotongnya, ia memotong kamu".

Sahabat-sahabat sekalian, saya rasa sudah masanya untuk kita hayati kembali pepatah-pepatah lama, yang telah disusun oleh orang-orang dahulu. Bukan kerana taqlid, tetapi kerana kata-kata hikmah ini ada mesej yang ingin disampaikan. Malah, jika ditanyakan pendapat saya, saya akan katakan pepatah ini salah, kerana masa bukan emas, bahkan lebih berharga daripada itu.

Salah seorang ulama' (lupa namanya) pernah memberitahu, "Kalaulah masa itu boleh dijual beli, nescaya aku akan membelinya". Kemudian dia ditanyakan kepadanya, "Dari manakah kamu akan membeli masa jika demikian?". Kemudian dia menjawab, "Daripada orang-orang yang membuang masa".

Subhanallah, begitu berharganya masa. Emas boleh dijual beli, tapi masa tidak. Tidak sekali-kali. Bayangkan sahabat-sahabat, pukul 10.30 am, 29/6/2011, berlaku satu minit sahaja, masa itu hilang selamanya. mungkin ada lagi 10.30 am, tapi bukan lagi 29/6/2011. Sebab itu kebanyakan orang, mereka seakan tidak sedar yang masa itu berlaku. Kata mereka, "Eh, cepatnya masa berlalu! Tinggal sehari lagi nak mula kelas". Sedangkan masa tidak berlalu dengan cepat. Ia berlalu dengan konsisten, tetapi mereka yang mensiakannya akan melupakannya.

Saya tertarik dengan satu notis, kalau tak silap saya terbaca dalam status dalam friendster (zaman2 friendster dulu). Ada seorang kawan tulis, "Whenever you've finished reading this, you'll find out that you have wasted 1 minute of your life". Terjemahan, "Apabila kamu sudah habis membaca ini, kamu akan dapati kamu sudah membazirkan 1 minit dalam hidup kamu". Agak lucu, tetapi kadang-kadang agak sinis. Bila ditekankan pasal '1 minute of your life', rasa macam rugi la pulak. Tak hairanlah dalam Al-Quran sendiri Allah swt bersumpah dengan masa. (Surah Al-Asr)

Satu fenomena lagi adalah ketika waktu hari lahir. Tiba sahaja hari lahir seseorang, ramailah yang akan ucap "Selamat Hari Lahir, moga panjang umur". Alhamdulillah, moga-moga doa itu maqbul. Namun yang ingin saya tekankan adalah mereka yang mengira umur itu bertambah. Sungguh, tibanya hari lahir kita umur tidak bertambah, bahkan berkurang, kerana kita semakin dekat dengan ajal kita. Hasbunallah Wani'mal Wakil.

InsyaAllah, moga-moga selepas ini kita mampu memanfaatkan masa sepenuhnya. Jika Rasulullah mengambil masa 13 tahun untuk mendidik sahabat-sahabat baginda pada zaman Makkah dan keseluruhannya 23 tahun untuk membina daulah Islamiyyah di Madinah, maka berapa lamakah yang kita ambil untuk mendidik masyarakat kita? Mungkin banyak lagi masa yang kita bazirkan, bukan kerana Islam. Sama-sama kita renungkan.

Semoga masa yang Allah swt berikan kepada kita diberkati, dan kita juga mampu menjawab ketika ditanya tentangnya di akhirat kelak.

Wallahu a'lam