Cari, cari, carilah...

Wednesday, March 23, 2011

Pemain Badminton Yang Gagal

بسم الله الرحمن الرحيم

Mohd seorang pemain badminton terkenal di sekolahnya. Sejak daripada tingkatan satu lagi, beliau sudah terkenal dengan 'skill'nya dalam sukan badminton. Sebut sahaja badminton, nama Mohd akan keluar. Tidak hairanlah jika Mohd selalu mewakili sekolahnya dalam sukan badminton setiap tahun, hingga mengharumkan nama sekolahnya.

Ketika Mohd naik ke tahun terakhir pengajiannya di sekolah, iaitu di tingkatan 5, beliau akhirnya berjaya mewakili negerinya ke pertandingan MSSM. Buat pertama kalinya beliau berjaya memasuki pertandingan berprestij tersebut. Beliau sangat gembira dan semangatnya terus membakar.

Untuk pertandingan tersebut, beliau telah niatkan untuk mendapatkan bahan-bahan yang terbaik...raket baru yang mahal, kasut baru, baju sukan mahal, dan sebagainya. Mohd begitu bersungguh mencari yang terbaik untuk pertandingan itu. Beliau melayari internet untuk membuat 'survey' tentang peralatan-peralatan badminton yang terbaru, lengkap dengan teknologi-teknologi mantap lagi sofistikated. Beliau perlu memastikan pertandingan pada tahun akhirnya itu menjadi pertandingan badminton yang sangat memberi makna kepadanya. Apa lagi kalau bukan menang? Kerana itulah beliau memilih perkakasan yang terbaik lagi berjenama.

Cari punya cari, beli punya beli...tarikh pertandingan tinggal lagi dua hari. Mohd menghabiskan senarai peralatan untuk dibeli terakhirnya, iaitu sebatang raket Yonex Voltric 70.

Pertandingan sehari lagi, Mohd mengemaskan barang-barangnya untuk ke luar negeri bagi pertandingan MSSM. Beliau perlu tiba awal di tempat perlawanan bagi membiasakan gelanggang.

Senang cerita, beliau kalah dalam perlawanan yang pertama lagi.

The End.

Cerita ini tiada kaitan antara yang masih hidup mahupun yang telah meninggal dunia.

*********************************************************************************

Mungkin para pembaca boleh mengagak apa kesilapan yang telah dilakukan oleh Mohd dalam cerita ringkas di atas.

Mohd telah lupa apa tujuannya masuk MSSM.

Sebenarnya pertandingan badminton MSSM tidak lain tidak bukan bertujuan untuk mencari pemain-pemain handal yang dapat dipilih jika pemain tersebut MENANG dalam pertandingan. Juga pertandingan tersebut sama sekali bukan pertandingan memperagakan peralatan-peralatan sukan yang mahal dan teknologi-teknologi yang canggih.

Jelas Mohd terlupa tujuannya masuk MSSM dan beliau menerima akibat perbuatannya.

Jika dilihat, setiap perkara (yang memberi kesan) yang dilakukan mesti mempunyai tujuan yang jelas. Bermain bola contohnya, jika tiada satu ruangan berjaring yang dinamakan gol, maka jadilah kita seperti budak-budak kecil bermain bola pada waktu petang. Tiada arah tujuan, hanya sekadar bersuka ria semata-mata.

Kita lihat pula contoh program-program yang dijalankan di mana-mana, pasti ada objektifnya yang tersendiri. Jika tiada objektif, maka program tersebut seakan-akan disiakan.

Berbalik kepada badminton tadi, tidak ana nafikan bahawa alatan-alatan canggih dan berteknologi memang membantu. Namun, kita perlu faham bahawa alatan dan tujuan mempunyai takrif tersendiri. Sekiranya alatan itu bertukar menjadi tujuan, maka jadilah kita seperti Mohd tadi. Sekiranya Mohd tidak terlalu memikirkan alatan yang akan beliau gunakan dan berlatih untuk menghadapi pertandingan, maka beliau mempunyai peluang yang lebih tinggi untuk sekurang-kurangnya mara ke pusingan kedua pertandingan.

Di sini saya berikan analogi telur ayam (credits to Akh Ahmad Fathi). Dalam telur ayam, manakah yang lebih penting? Kuningnya atau putihnya?

Sudah tentu kuningnya, kerana kuningnyalah yang akan terbentuk menjadi anak ayam nanti. Fungsi bahagian putih adalah membekalkan nutrien-nutrien yang diperlukan untuk pembesaran sel-sel supaya terbentuknya seekor anak ayam.

Hidup ini ada tujuan kah?


Semestinya. Allah tidak menjadikan kita manusia dengan sia-sia. Setiap yang Allah swt ciptakan mempunyai fungsinya dan tujuannya yang tersendiri. Lebih-lebih lagi kita, manusia sebagai sebaik-baik makhluk di muka bumi. Tidak perlu ana bagi dalil, semua yang membaca pasti sudah dapat meneka apa ayatnya. Kalau masih tak dapat teka, carilah lagi sampai jumpa DUA ayat yang menceritakan tujuan penciptaan manusia.

1 - Ibadah
2 - ????

Maka, adakah hidup kita sebagai pelajar, pekerja, seorang ayah, seorang ibu, seorang anak, seorang ahli keluarga hanya menjalankan kerja yang sama sepanjang hidup? Seorang pelajar keluar pagi belajar, balik petang, malam study, akhir semester ada exam, kalau lepas boleh advance. Kalau dah habis belajar grad, boleh kerja, kahwin, urus rumah tangga.

Semua pekerjaan-pekerjaan ini sama dalam setiap masyarakat. Tidak salah juga jika ana katakan dalam setiap orang, semua pekerjaan ini akan melalui sesuatu yang sama juga...MATI..

Maka ketika itulah akan terdetik juga dihati, adakah tujuan hidup dipenuhi?? Atau alatan sudah menjadi tujuan??

Masalah kan?? Benarlah setiap masalah itu ada penyelesaian, kerana sebenarnya sudah ada satu sistem lengkap yang dapat memenuhi tuntutan tujuan hidup manusia...

Nak tahu? Tanyalah orang yang TAHU...

Wallahu a'lam..

Sunday, March 13, 2011

Aku Ingin Bercinta, Pleaseeee....


Kehidupan sebagai seorang pelajar perubatan memang mencabar. Setiap hari mesti diisi dengan sebaiknya, khususnya mengulangkaji pelajaran yang telah diajar di dalam kuliah. Anatomy, anatomylah...Physiology, physiologylah...Jika terlepas untuk mengulangkaji, maka kita terima akibatnya. Kerana itulah kadang-kadang terasa diri ni bagaikan tak mampu untuk meneruskan langkah. Kadang-kadang kecundang, kadang-kadang tergelincir. Bila tengok keputusan peperiksaan sahabat-sahabat yang lain, rasa cemburu. Mula-mula semangat nak belajar betul-betul tapi lama-lama luntur. Aduh, ia memang mencabar.

Kadang-kadang terfikir, mungkinkah ada satu cara yang boleh ana lakukan supaya semangat sentiasa berkobar-kobar. Setiap waktu mesti fikir pelajaran. Ana perlukan satu penguat di mana apabila terfikirkan penguat itu, maka ana bersemangat untuk belajar. INSPIRASI! Ya, itulah perkataannya! Ana memerlukan satu inspirasi yang dapat menguatkan keyakinan ana hingga ke akhir pengajian, dan jika boleh, berkekalan InsyaAllah. 

Fikir punya fikir...

Terlintas di fikiran ana, bukankah CINTA itu suatu inspirasi?

Teringat zaman budak-budak dulu, kalau berkenan dekat sorang perempuan ni, kalau buat apa-apa mesti teringat kat dia.

Nak belajar pun jadi bersemangat sebab mesti dia suka kalau kita cemerlang, lebih-lebih lagi kalau keduanya cemerlang. Inilah cinta yang sejati, terkawal daripada hasutan hawa nafsu, cinta yang membawa kepada kebaikan. Bukankah Islam itu menganjurkan kebaikan kepada umatnya?

Lebih-lebih lagi jika percintaan itu bukan sahaja disandarkan pada pelajaran, tetapi juga pada agama. Terlintas di fikiran mahu melakukan maksiat, kita dapat hindarkannya kerana keduanya saling nasihat-menasihati. Memanglah meninggalkan itu kerana Allah tapi dia itu menjadi asbab, apa salahnya?

Mungkin ana baru menyedari bagaimana fitrah manusia ini, sungguh indah sebenarnya. Ya, sangat indah. Mungkin inilah inspirasi yang ana patut cari. Tak kiralah apa orang kata, asal hidup ana bermakna...

HARITH! HARITH! Astaghfirullahal 'Azim!!

Mungkin ana sudah terlupa yang CINTA ALLAH melebihi segalanya.

Mungkin ana terlupa yang CINTA RASUL membawa kepada syafaat baginda.

Mungkin ana terlupa...


Suatu ketika Umar bin khatab r.a berkata, “ Wahai Rasulullah, saya mencintaimu lebih dari segalanya kecuali nyawa saya. 
“Nabi saw bersabda” seseorang tidak akan menjadi seorang mukmin yang sempurna sebelum dia lebih mencintai aku dari pada dirinya sendiri.”
Lalu Umar r.a. berkata lagi,” sekarang saya mencintai engkau lebih dari diri saya sendiri”
Nabi saw bersabda, “Sekarang ia Umar,” Para Ulama menjelaskan bahwa jawaban Rasulullah saw, tersebut mengndung 2 maksud.:

1. “Sekarang sudah sempurna keimananmu
2. “ Ini adalah peringatan, mengapa baru sekarang engkau mencintaiku dari pada dirimu sendiri, wahai umar. Padahal sebenarnya perasaan ini harus sudah di miliki sejak dulu.


Kadang-kadang kita terlupa bahawa, bukanlah cinta yang memberi inspirasi itu kecuali perangkap daripada SYAITAN. Kalau diikutkan, bukankah betul hujah-hujah tentang inspirasi cinta yang ana berikan tadi? 

Cuba fikirkan kembali, bagaimanakah kiranya jika kita tukarkan cinta tadi kepada cinta Allah dan Rasul...

Cinta Allah dan Rasul menjadi inspirasi bagi kita, bukankah ianya lebih kuat, lebih suci dan lebih berkekalan berbanding selainnya?

Itulah kita manusia. Kita sering terpedaya dengan pemikiran-pemikiran yang pada zahirnya masuk akal. Namun tanpa kita sedari fikiran kita sebenarnya sedang dimanipulasikan oleh bisikan-bisikan syaitan...

أعوذ بكلمات الله التّامات من شرّ ما خلق

Berbalik kepada inspirasi yang dipupuk daripada cinta Allah dan Rasul tadi, adakah ianya realistik? Atau hanya retorik? Kadang-kadang kita hanya sebut-sebutkan perkara ini tapi realitinya, kita tidak merasakan cinta itu. Nak buat macam mana? Dah tak rasa...Cinta tidak boleh dipaksa!

Sahabat-sahabat sekalian, cuba kita fikirkan sejenak. Jika Allah tidak sayangkan kita adakah Dia akan beri kepada kita nikmat-nikmat yang kita punyai hari ini? Adakah Dia akan biarkan kita menikmati nikmat Iman dan Islam yang kita perolehi sejak daripada kecil ini? Jika Dia mahu, mudah sahaja Dia membuatkan anda semua bosan dengan Islam dan murtad (Na'uzubillah min zaalik).

Bagaimana dengan Nabi Muhammad SAW? Jika baginda tidak menyayangi kita, adakah baginda akan mengucapkan ummati...ummati...ummati... sebelum kewafatan baginda? Adakah juga baginda sanggup bersusah payah demi menyampaikan Islam kepada kita sehingga hari ini? Ingatlah bahawa baginda Rasulullah SAW tidak pernah melihat kita, tidak pernah mengetahui tentang diri kita, tidak pernah mendengar suara kita. Namun baginda begitu menyayangi kita..

Tiadakah terasa dalam diri anda semua untuk MEMUPUK cinta itu? Memupuk cinta Allah dan RasulNya dengan membasahkan lidah dengan zikrullah dan selawat keatas baginda SAW, itulah rahsianya, di samping mencari ilmu untuk mengenali Allah dan mengenali Rasulullah SAW.

Jika cinta ini dapat kita kecapi, insyaAllah segala urusan kita semuanya ikhlas kerana cinta kita kepada Allah swt serta RasulNya. Kita mahukan persembahkan prestasi yang terbaik dalam pelajaran, prestasi yang terbaik dalam akhlak, prestasi yang terbaik dalam apa jua yang kita lakukan, tidak lain tidak bukan hanyalah kerana CINTA kita.

Ana mesti dapatkan Cinta itu!

Wallahu a'lam.

P/S  Penulis bukanlah seorang yang mantap cintanya kepada Allah dan Rasul tapi insyaAllah, sedang
       berusaha ke arah itu. Moga kita semua dapat menikmati kelazatan cinta Allah & Rasulullah SAW
       InsyaAllah.