Cari, cari, carilah...

Sunday, July 31, 2011

15 minit sebelum Ramadhan: Satu Renungan





Bismillahirrahmanirrahim


Jika kita pergi melawat negara-negara seperti Turki, Sepanyol, dan seumpamanya, kita pasti terpegun dengan keindahan warisan seni Islam yang telah ditinggalkan suatu masa dahulu. Kebanyakan pasti berkata, "Sungguh, Islam pernah bertapak di sini suatu masa dahulu. Islam pernah menguasai tanah ini" dengan rasa penuh bangga dengan Islam.


Baiklah.


Jika kita fikirkan pula, seorang mat saleh yang melawat negara-negara seperti Jordan, Mesir, Malaysia dan negara-negara Islam yang lain, pernahkan kita terfikir apa yang bermain-main di fikiran mereka? Ini satu persoalan. Ada kemungkinan, mereka akan fikir, "Begini rupanya negara Islam. Pemakaian cara kami, pertuturan cara kami, orang azan buat tak tahu, jual beli pun menipu...Sungguh, agamaku SEDANG bertapak di sini. agamaku SEDANG menguasai tanah ini" dengan rasa penuh bangga dengan agama mereka.


Dapatkah kita bezakan antara dua keadaan di atas?


Inilah yang berlaku sekiranya umat Islam masih lagi berada dalam 'zon selesa'. Sejarah kegemilangan Islam dahulu disebut-sebut dan disebut-sebut, hanya untuk mencari kemegahan yang kosong. Buat apa bermegah, sedangkan yang gemilang itu bukan kita yang terlibat dalam pembinaannya? Sejarah adalah untuk diambil iktibar, bukan untuk bermegah-megah. Cuba kita bayangkan, kalau ada di antara orang kafir mengatakan kepada kita, "Alah, tu dulu...sampai bila kau nak sebut-sebutkan? Yang penting aku berkuasa atas kalian sekarang ni". Kita masih lagi dalam ayunan mimpi, langsung tidak berpijak pada realiti.


Apa kaitan dengan Ramadhan?


Ramadhan yang mendatang, menjadi tetamu yang kita nanti-nantikan setiap tahun. Setiap kali ia mendekati, kita berazam dan mengharapkan ianya menjadi Ramadhan yang terbaik. Ia juga sebagai madrasah tarbiyah kepada kita, untuk mengubah diri dan meningkatkan amal.


Namun perubahan diri perlu ada daya penolak. Mana mungkin seseorang itu berupaya mengubah diri tanpa satu sebab yang jelas, mengapa perlu untuk dia mengubah diri. Jika tiada sebab yang jelas, maka Ramadhan akan terus berlalu, kita mungkin akan tewas juga akhirnya. Cuba kita bayangkan, sewaktu nabi saw ber'uzlah di gua Hira'. Sesiapa yang pernah mendaki Jabal Nur dan memasuki Gua Hira' pasti mengetahui betapa penatnya pendakian ke atas sana. Kesungguhan Rasulullah saw untuk beribadah, pasti dibayangi oleh satu perasaan yang kuat, satu perasaan ingin mengubah sesuatu, SATU PERASAAN YANG TIDAK SENANG DENGAN MASYARAKAT JAHILIYYAH KETIKA ITU.


Kesimpulannya,


Kita mengambil 'ibrah daripada renungan di atas, bahawa untuk kita rasa lebih bersemangat dalam mengubah diri sempena Ramadhan kali ini, kita seharusnya ada perasaan yang kuat untuk mengubah masyarakat kita. Ayuh kita keluar daripada 'zon selesa' ini...masyarakat Islam sedang parah, ia memerlukan perubahan daripada kita.


Wallahu a'lam..


SELAMAT MENYAMBUT RAMADHAN & SELAMAT BERPUASA

Saturday, July 9, 2011

Kawan-kawan dah mula berubah, aku bila lagi?



بسم الله الرحمن الرحيم

الحمد لله, ثم الحمد لله, ثم الحمد لله

Maha Suci Allah, setiap jiwa yang dipinjamkannya di bumiNya ini berada di bawah kekuasaanNya. Tidak berubah seseorang itu kecuali dengan izinNya, begitulah juga tidak masuk syurga seseorang itu kecuali dengan rahmatNya. Syurga itu mahal harganya, namun rahmatNya mengatasi segala. Bahkan ibadah seorang hamba selama seribu tahun belum cukup untuk menjamin syurga. Apakan pula diri ini yang hina?

"Jikalau tidaklah karena nikmat Tuhanku pastilah aku termasuk orang-orang yang diseret (ke neraka)" (Ash-Shaffaat: 57)

Sigh...

Tika mengenangkan nasib akhirat, keluhan selalu dihembuskan. Apakah diri ini berjaya mengharung setiap ujian dunia, hingga dapat mencapai redha Allah swt? Amal pun tak seberapa mana,  bagaimana mahu thabat dalam perjuangan dakwah dan mendamba kasih Allah swt? Sungguh, dunia ini benar-benar ujian.


Islam Itu Motivasi

Alhamdulillah, walaupun ujian dunia ini begitu hebat buat mereka yang menyedari, namun kita dibekalkan oleh Allah swt satu jalan. Jalan ini dipandu selari dengan Al-Quran dan sunnah nabi saw, dimana mengikut jalan ini merupakah motivasi kepada kita untuk meneruskan kehidupan di bumi Allah swt. 

Sehebat dan sebesar manapun ujian dunia yang menimpa, Al-Quran tidak pernah mengecewakan orang-orang yang beriman dalam memberikan satu motivasi yang memandu mereka kearah menguatkan iman mereka. Mereka seolah-olah melalui satu jalan berliku, berduri dan penuh halangan, tetapi tahu hala tuju mereka pada suatu peta yang jelas di penghujungnya, kenikmatan yang berkekalan.

Maka diri ini juga perlu ikut serta dalam perjuangan, bermula dengan mengubah diri sendiri.


Suasana Yang Mengubah

Maha Suci Allah yang segala sesuatu tidak berlaku hanya dengan izin dan ketetapanNya, suasana di Irbid tampak semakin hari semakin baik. Hidup di sini bersama dengan sahabat-sahabat, tentunya memberikan satu impak dan pengaruh kepada diri ini. Alhamdulillah, pengaruh yang bakal memberi impak kepada diri ini merupakan jalan yang InsyaAllah dapat merubah diri ini.

Alhamdulillah sekali lagi, dapat melihat ramai sahabat menyertai Akademi Al-Fateh yang dianjurkan oleh PERMAI. Ana dapat lihat perubahan yang ingin mereka cari, dan amal yang mereka lakukan demi mengubah diri mereka. Terkadang rasa segan, dek kerana ego yang tinggi, akhirnya sedar bahawa diri ini begitu hina, begitu ketinggalan dalam beramal. Tidak salah berlumba-lumba dalam beramal. 

Semoga perubahan yang mereka cari dapat juga menjadi penggerak kepada diri ini untuk turut serta dalam perubahan dan seterusnya menebalkan keimanan agar terus gagah dalam arus dakwah. Benar, amal tidak menjamin syurga tetapi dengan amalanlah kita mendamba redha Allah swt, sehinggalah kita mencapai darjat yang tinggi disisi Allah swt, iaitu Taqwa.

Kawan-kawan dah mula berubah, aku bila lagi?.....

(إِنَّ اللَّهَ لَا يُغَيِّرُ مَا بِقَوْمٍ حَتَّى يُغَيِّرُوا مَا بِأَنْفُسِهِمْ) [الرعد: 11]